Perutusan YB SUK Negeri Perlis




سْـــــــــمِاَللّهِالرّحْمنالرّحيم

السَّلاَمُعَلَيْكُمْوَرَحْمَةُاللهِوَبَرَكَاتُهُ


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi dengan izin dan rahmatnya diberikan kesempatan menyempurnakan portal rasmi yang baharu Kerajaan Negeri Perlis dengan jayanya.

Seperti yang kita sedia maklum bahawa komunikasi yang berkesan memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan sesuatu maklumat agar maklumat yang diperolehi adalah jelas, benar dan tepat. Saluran komunikasi yang pelbagai dalam menyampaikan informasi merupakan kaedah yang lebih efektif dan efisyen dalam mempertingkatkan kecekapan sistem pentadbiran sesebuah organisasi.  Oleh itu, salah satu platform yang diguna pakai untuk berinteraksi dan berhubung dengan orang ramai adalah menerusi media sosial. Ia merupakan alat yang boleh memberikan manfaat kepada individu mahupun organisasi kerana mudah diakses oleh orang ramai di mana sahaja dalam suatu masa.

Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat yang tiada sempadan pelbagai informasi dapat diperolehi oleh semua pihak melalui pendekatan interaktif. Sehubungan itu, dengan wujudnya portal rasmi ini semua pihak boleh mengetahui dengan lebih mudah dan jelas tentang pesanan Kerajaan Negeri Perlis dan juga perkembangan yang berlaku. Kerajaan Negeri Perlis sedang berusaha membawa perubahan ke arah Kerajaan Digital melalui usaha-usaha yang sedang dirancang.

Portal rasmi Kerajaan Negeri Perlis ini juga menerangkan dengan lebih terperinci tentang peranan dan fungsi unit dan bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis serta agensi dan jabatan-jabatan di bawahnya selaku jentera Kerajaan Negeri Perlis. Segala perkembangan dan aktiviti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dapat diakses menerusi portal rasmi ini. Portal rasmi ini merupakan salah satu usaha bagi mempertingkatkan sistem penyampaian dalam menyampaikan maklumat dan menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan produktif selaras dengan misi dan visi perkhidmatan awam.

Akhir kata, saya berharap portal rasmi Kerajaan Negeri Perlis ini dapat memberikan input yang bermanfaat kepada orang ramai serta menjadi pemangkin dan saluran maklumat yang sahih dan tepat mengenai Negeri Perlis serta usaha-usaha memajukannya ke arah Negeri Bandaraya menjelang tahun 2030. 

Sekian.

 

YB TUAN AZMAN BIN MOHD YUSOF
Image