Perutusan Menteri Besar

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 

Saya mengalu-alukan anda semua yang melayari laman web rasmi kerajaan Negeri Perlis ini untuk mengetahui dari dekat mengenai Negeri Perlis. Laman web ini memuatkan pelbagai maklumat yang diyakini amat berguna kepada anda semua. Antara lain ia memaparkan mengenai kedudukan negeri, sejarah, institusi Raja, bendera, lambang, infrastruktur, politik dan kebudayaan rakyat negeri ini. Justeru, pada kesempatan ini saya amat mengharapkan agar anda semua akan mengenali dari dekat Negeri Perlis yang kecil tetapi permai ini.

Walaupun kedudukan Perlis jauh di Utara Semenanjung, tetapi ia mempunyai keistimewaan tersendiri. Perlis kaya dengan budaya peramah rakyatnya. Ketenangan alam semula jadi amat sesuai sekali kepada anda semua yang inginkan ketenangan. Keindahan sawah padi membuatkan anda begitu terpesona. Begitu juga dengan kehijauan ladang tebu di Chuping, seolah-olah anda berada di Cuba, sebuah negara pengeluar gula utama dunia. Justeru, untuk menatap segala keindahan tersebut, datanglah ke Perlis yang sentiasa menunggu anda semua.

Perlis kini sedang memberi tumpuan serius dalam bidang pelancongan. Pelbagai tempat rekreasi dan riadah yang menarik disediakan. Anda boleh berkunjung ke Taman Ular dan Reptilia di Sungai Batu Pahat, Gua Kelam di Kaki Bukit, Tasik Melati di Beseri dan Taman Herba di Bukit Ayer. Anda boleh makan laksa di Kuala Perlis dan membeli-belah di Kedai Bebas Cukai Padang Besar atau Pekan Sehari Antarabangsa di Wang Kelian. Jika anda datang ke Perlis pada bulan Disember hingga ke bulan Februari, anda akan dapat menikmati iklim dingin seolah-olah anda berada di musim sejuk dalam sebuah negara yang mempunyai empat musim.

Dengan kedudukan Perlis di tengah-tengah kawasan Pembangunan Segi Tiga Utara (IMT-GT), menjadikan Perlis sebuah negeri paling strategik untuk pembangunan serantau. Perlis paling hampir dengan wilayah-wilayah di Selatan Thailand dan Utara Sumatera di samping negeri-negeri Utara Semenanjung. Ia mempunyai potensi yang cukup tinggi sebagai kawasan pembangunan baru. Beberapa kawasan perindustrian tambahan sedang dibangunkan di negeri ini. Justeru Perlis mengalu-alukan kedatangan para pelabur untuk turut melabur dan membuka kilang-kilang perindustrian. Sekian.

Selamat melayari laman web rasmi kerajaan Negeri Perlis.

Sekian,Terima Kasih.

 

YAB TUAN MOHD SHUKRI BIN RAMLI

Image

MYHRMIS MOBILE

PAUTAN LUAR