MAJLIS ANUGERAH SASTERA NEGERI PERLIS 2026
Tarikh : 12 November 2026 (Khamis)
Tempat : Elissa Hotel & Suites, Kangar, Perlis
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis telah berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Sastera Negeri Perlis 2026 yang berlangsung di Elissa Hotel & Suites, Kangar, Perlis.
Turut hadir bersama ke majlis ini, YAB Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Menteri Besar Perlis, YB Tuan Rus'sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Tuan Saharuddin bin Sarwan, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. YBhg. Datuk Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Encik Abdul Rahim bin Husin, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis.
Penganjuran sulung Anugerah Sastera Negeri Perlis 2026 merupakan satu inisiatif penting dalam mengiktiraf, menghargai dan meraikan kejayaan serta sumbangan para penulis, pengarang dan sasterawan yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan dunia persuratan dan kesusasteraan di negeri ini.
Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Negeri Perlis terhadap tokoh persuratan dan kesusasteraan, sekali gus melambangkan penghormatan terhadap pemikiran, kreativiti, ketekunan serta perjuangan para pengarang dalam menghasilkan karya yang bernilai, bermutu dan memberi makna kepada masyarakat.
Sebanyak enam kategori pengiktirafan telah diperkenalkan menerusi Anugerah Sastera Negeri Perlis 2026, merangkumi Anugerah Sasterawan Negeri Perlis, Anugerah Persuratan Negeri Perlis, Anugerah Citra Negeri Perlis, Anugerah Khas Juri (Anugerah Sasterawan Sepanjang Hayat Negeri Perlis), Anugerah Penulis Harapan Negeri Perlis dan Hadiah Sastera Negeri Perlis.
DYTM Tuanku Raja Muda Perlis telah berkenan menyempurnakan simbolik perasmian serta pengurniaan anugerah kepada tokoh-tokoh sastera sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan serta pencapaian mereka dalam bidang persuratan dan kesusasteraan.
Antara penerima pengiktirafan pada majlis tersebut ialah:
• Anugerah Sasterawan Negeri Perlis – Encik A. Rahim Abdullah
• Anugerah Persuratan Negeri Perlis – Encik Ku Seman Ku Hussain
• Anugerah Citra Negeri Perlis – Dr. Hazman bin Hassan
• Anugerah Khas Juri (Anugerah Sasterawan Sepanjang Hayat Negeri Perlis) – Encik Mokhtar A.K.
• Anugerah Penulis Harapan Negeri Perlis – Puan Intan Juliana binti Johari
Penganjuran anugerah ini diharap dapat menyemarakkan lagi budaya membaca, menulis dan berkarya dalam kalangan masyarakat, selain menjadi pemangkin kepada kemunculan lebih ramai penulis serta bakat baharu yang mampu mengangkat martabat bahasa, persuratan dan kesusasteraan Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.
Hadir sama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Setiausaha-Setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, para sasterawan, penulis, penggiat bahasa dan sastera, para penerima anugerah, wakil-wakil agensi Negeri dan Persekutuan dan urus setia majlis yang terlibat.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook



