PERSIDANGAN NASIONAL REFORMASI KERENAH BIROKRASI (RKB) 2026
Tarikh : 28 – 29 Oktober 2026
Tempat : Selangor International Trade Centre (SITEC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah menganjurkan Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026 sebagai platform nasional bagi kementerian dan kerajaan negeri membentangkan projek-projek RKB yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2026.
Negeri Perlis terus melakar kejayaan membanggakan apabila tiga agensi Kerajaan Negeri berjaya menerima pengiktirafan dalam persidangan tersebut, sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam memperkukuh agenda reformasi, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memberikan impak yang lebih besar kepada rakyat.
Lebih membanggakan, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis berjaya meraih Anugerah Platinum menerusi inisiatif Mempercepat Penyelesaian Kes Prosedur Undang-Undang Keluarga Islam, yang berjaya mengurangkan tempoh penyelesaian kes daripada 411 hari kepada hanya 1 hari melalui pendekatan Penyelesaian Alternatif.
Turut mencipta kejayaan ialah PlanMalaysia@Perlis yang menerima Anugerah Emas menerusi inisiatif Meningkatkan Kecekapan Semakan Maklumat Zoning Guna Tanah, sebagai usaha memperkukuh kecekapan proses semakan serta penyampaian maklumat berkaitan perancangan dan guna tanah.
Sementara itu, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis turut menerima Anugerah Emas menerusi inisiatif e-FaST Faraid, yang berjaya mempercepatkan proses pengeluaran Sijil Faraid daripada 21 hari kepada hanya 2 jam.
Ketiga-tiga pencapaian ini jelas membuktikan bahawa agenda reformasi bukan sekadar membawa perubahan kepada proses kerja, malah mampu menghasilkan impak nyata dan boleh diukur melalui pengurangan tempoh penyampaian perkhidmatan, peningkatan kecekapan serta pengalaman perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
Kejayaan ini juga mencerminkan komitmen dan kesungguhan penjawat awam Negeri Perlis dalam menerapkan budaya inovasi, memperkemas proses kerja serta berani melakukan perubahan demi memastikan perkhidmatan awam sentiasa kekal relevan, cekap dan berorientasikan rakyat.
Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis, PlanMalaysia@Perlis dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis atas pencapaian yang amat membanggakan ini.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook



