MAJLIS PERASMIAN PERLIS USAHAWAN FEST (PUF2026)

Tarikh : 23 Oktober 2026 (Jumaat)
Tempat : Dewan 2020, Kangar, Perlis

YB Tuan Megat Hashirat bin Hassan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Keusahawanan & Koperasi) telah hadir ke Majlis Perasmian Perlis Usahawan Fest 2026 (PUF2026) yang berlangsung di Dewan 2020, Kangar, Perlis. Turut hadir YB Tuan Rus'sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis dan YB Dato’ Noor Azman bin Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Penganjuran PUF2026 oleh Kerajaan Negeri Perlis melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, dengan kerjasama jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan bersama rakan-rakan strategik, menjadi antara platform penting dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan negeri serta membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada usahawan tempatan untuk berkembang dan berdaya saing.

PUF2026 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Perlis dalam memperkasa usahawan tempatan melalui perkongsian ilmu, penerokaan peluang pasaran, pengembangan jaringan perniagaan serta akses kepada maklumat berkaitan pembiayaan dan sokongan keusahawanan. Inisiatif ini turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan daya saing Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di samping menggalakkan penyertaan generasi muda dalam bidang keusahawanan.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai pengisian menarik disediakan kepada usahawan dan pengunjung, antaranya Business Pitching (Shark Tank), sesi perkongsian keusahawanan, forum ilmu, pameran reruai agensi berkaitan, pocket talk serta jualan produk usahawan. Turut diadakan pelbagai program sisipan seperti 5KM Fun Run, 30KM Fun Ride, pertandingan eSport, Jualan Rahmah serta saringan kesihatan percuma untuk pengunjung.

Majlis diserikan dengan Simbolik Perasmian Perlis Usahawan Fest 2026 yang telah dirasmikan oleh YB Tuan Megat Hashirat bin Hassan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Keusahawanan & Koperasi). YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Keusahawanan & Koperasi) turut melancarkan Sistem Penarafan Bintang PMKS SME Corp. Malaysia melalui Sistem SCORE @ MYBPI, diikuti Sesi Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) serta Penyampaian Anugerah Usahawan Ikon sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan sumbangan usahawan dalam bidang keusahawanan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi walkabout oleh YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Keusahawanan & Koperasi) ke reruai-reruai pameran bagi menyantuni para usahawan serta meninjau produk dan perkhidmatan yang diketengahkan sepanjang PUF2026.

Kerajaan Negeri Perlis berharap PUF2026 terus menjadi platform strategik yang dapat mempertemukan usahawan dengan agensi sokongan, rakan industri dan pelanggan, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mengembangkan perniagaan, memperluas pasaran dan membina jaringan kerjasama yang berimpak tinggi.

Hadir sama dalam majlis, YBrs. Encik Rusdi bin Yahya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), YBrs. Dr. Noriman bin Rojulai, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan), Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, wakil-wakil jabatan serta urus setia Perlis Usahawan Fest 2026 (PUF2026).

Sumber : SUK Perlis Official Facebook

 
 
 

© 2026 Your Company. All Rights Reserved.
splwpk-procurement splwpk-online-e-participation Dasar Privasi

Dasar Privasi

Dasar Privasi

Penafian

MYHRMIS MOBILE

PAUTAN LUAR