SAMBUTAN HARI KESIHATAN MENTAL & BULAN KAUNSELING PERINGKAT NEGERI PERLIS 2026

Tarikh : 20 Oktober 2026 (Selasa)
Tempat : Dewan Bankuet, Kompleks SUK Negeri Perlis

YB Dato’ Noor Azman bin Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis telah hadir ke Sambutan Hari Kesihatan Mental & Bulan Kaunseling Peringkat Negeri Perlis 2026. Turut hadir bersama ,YB Tuan Yang Zaimey bin Yang Ghazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, YB Tuan Saharuddin bin Sarwan, Pegawai Kewangan Negeri Perlis dan YBrs. Dr. Ghazali bin Chik, Pengarah, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis telah menjayakan Sambutan Hari Kesihatan Mental dan Bulan Kaunseling Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks SUK Negeri Perlis.

Program ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan menjaga kesihatan mental, mengurangkan stigma serta memperkukuh tindakan individu disamping mengukuhkan kerjasama antara agensi dalam menyokong kesihatan mental di Negeri Perlis. Kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Perlis dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis ini melambangkan komitmen bersama dalam memastikan aspek kesihatan mental terus diberi perhatian serta ditangani secara menyeluruh dan berkesan.

Tema sambutan Hari Kesihatan Mental Tahun 2026, iaitu “Pengalaman Hidup Didengari: Suara Nyata, Perubahan Direalisasi”, membawa mesej penting bahawa setiap pengalaman dan suara individu perlu didengar, difahami dan dihargai dalam usaha mewujudkan perubahan yang lebih bermakna terhadap kesejahteraan mental.

Terdahulu, program diserikan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh personaliti undangan, Tuan Amin Idris, bertemakan _“Lived Experiences Heard: Real Voices, Real Change”_ dengan tajuk “Di Sebalik Senyuman: Bila Suara Didengari, Perubahan Bermula” sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental dan Bulan Kaunseling Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026.

Sementara itu, Bulan Kaunseling yang turut disambut pada setiap Oktober telah mengangkat tema “Kaunseling Era Digital: Memacu Kesejahteraan”, yang memberi penekanan terhadap peranan perkhidmatan kaunseling dalam mendepani perubahan era digital serta membantu individu mengurus cabaran kehidupan dengan lebih baik.

Majlis telah dirasmikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, sebagai tanda sokongan dan komitmen berterusan Kerajaan Negeri terhadap usaha memperkukuh kesejahteraan mental dan emosi, khususnya dalam kalangan penjawat awam serta masyarakat di Negeri Perlis.

Semoga program ini terus menjadi platform untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan kesihatan mental, menggalakkan budaya saling menyokong dan membina persekitaran yang lebih prihatin, terbuka serta bebas daripada stigma terhadap isu kesihatan mental.

Hadir sama YBrs. Dr. Noriman bin Rojulai, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan), Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Setiausaha-Setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan Negeri Perlis serta wakil komuniti.

Sumber : SUK Perlis Official Facebook

 
 
 

© 2026 Your Company. All Rights Reserved.
splwpk-procurement splwpk-online-e-participation Dasar Privasi

Dasar Privasi

Dasar Privasi

Penafian

MYHRMIS MOBILE

PAUTAN LUAR