MAJLIS PERASMIAN HARI SUKAN NEGARA PERINGKAT NEGERI PERLIS 2026
Tarikh : 10 Oktober 2026 (Sabtu)
Tempat : Perkarangn Kangar Jaya Mall, Kangar, Perlis
YB Dato’ Noor Azman bin Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis hadir ke Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 yang berlangsung di Kangar Jaya Mall, Kangar, Perlis.
Turut hadir sama, YBrs. Encik Ahmad Fuad bin Ishak, Timbalan Pengarah Pejabat ICU JPM Perlis yang mewakili Pengarah ICU JPM Perlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Negeri Perlis, YBrs. Encik Mohammad Suhaimi bin Md Saad, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Muhammad Firdaus bin Azizan, Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YBrs. Dr. Wan Ahmad Hazman bin Wan Daud, Pengarah Yayasan Pusat Belia Antarabangsa serta Ahli-ahli Yang Berhormat.
Sambutan HSN 2026 merupakan satu wadah untuk menggalakkan rakyat Malaysia terus mengamalkan aktiviti sukan dan kecergasan sebagai sebahagian daripada gaya hidup aktif, di samping meningkatkan penyertaan serta penglibatan masyarakat dalam pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi. Budaya hidup aktif ini penting dalam membentuk masyarakat yang lebih sihat, cergas, produktif dan sejahtera.
Mengangkat tema “Sukan dan Teknologi Kecerdasan Buatan”, sambutan HSN 2026 turut memberi penekanan terhadap penglibatan masyarakat secara lebih inklusif dengan merangkumi pelbagai lapisan komuniti termasuk warga emas, veteran, orang kurang upaya (OKU), wanita dan kanak-kanak.
Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan sepanjang sambutan, antaranya Larian Ria MADANI, Berjalan Ria MADANI, aktiviti kecergasan dan rekreasi, e-sukan, aktiviti keluarga, Karnival Sukan OKU, cabutan bertuah serta pelbagai pengisian lain yang melibatkan masyarakat setempat.
Pada majlis tersebut, YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis turut menyempurnakan Gimik Perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perlis 2026, diikuti dengan Pelepasan Larian Ria MADANI dan Pelepasan Berjalan Ria MADANI.
YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis kemudiannya turut meluangkan masa dalam sesi Meet and Greet bersama atlet SUKMA dan Para SUKMA Perlis 2026, sebelum meneruskan Walkabout ke reruai HSN 2026 bagi meninjau pelbagai aktiviti dan pengisian yang disediakan kepada pengunjung.
Semoga sambutan Hari Sukan Negara terus menjadi pemangkin kepada pembudayaan sukan dan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat, seterusnya melahirkan masyarakat yang lebih sihat, cergas, inklusif dan sejahtera.
Hadir sama pada majlis ini ialah Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, wakil-wakil jabatan dan rakyat Negeri Perlis.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook



