PROGRAM PEMBUDAYAAN GAYA HIDUP SIHAT PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PERLIS (SIHAT @ SUK PERLIS 2026)
Tarikh : 09 Oktober 2026 (Jumaat)
Tempat : Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis
Program Pembudayaan Gaya Hidup Sihat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (SIHAT @ SUK PERLIS 2026) anjuran Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Hartanah (BPPH), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis telah berlangsung pagi ini di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.
Program turut dihadiri oleh YBrs. Encik Rusdi bin Yahya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), Setiausaha-Setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta pegawai dan kakitangan yang bertugas di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.
Program dimulakan dengan sesi senamrobik yang berlangsung dalam suasana penuh semangat dan ceria. Aktiviti ini bukan sahaja menjadi ruang untuk warga kerja meluangkan masa bersama dalam suasana yang lebih santai, malah turut memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan, kecergasan fizikal dan kesejahteraan diri dalam mendepani tuntutan tugas seharian.
Pelaksanaan SIHAT @ SUK PERLIS 2026 turut menjadi sebahagian daripada usaha berterusan PSUK Perlis untuk menggalakkan warga kerja mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat, sekali gus membentuk persekitaran kerja yang lebih positif, bertenaga dan kondusif. Inisiatif seperti ini diharap dapat menyokong pembentukan warga perkhidmatan awam yang bukan sahaja cergas dari aspek fizikal, malah lebih produktif dan berkualiti dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen PSUK Perlis dalam memperkukuh budaya kesejahteraan di tempat kerja, dengan menjadikan aspek kesihatan dan kecergasan sebagai sebahagian daripada amalan serta budaya kerja warga perkhidmatan awam negeri.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook



