MAJLIS APRESIASI PENARAFAN NAZIRAN PENGURUSAN ADUAN AWAM
Tarikh : 1 Oktober 2026 (Khamis)
Tempat : Dewan Damar Sari, Kompleks F, Putrajaya
YB Dato’ Noor Azman bin Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, telah menghadiri Majlis Apresiasi Penarafan Naziran Pengurusan Aduan Awam yang disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara bertempat di Dewan Damar Sari, Kompleks F8, Putrajaya. Turut hadir, Puan Norazlinda binti Ali, Ketua Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.
Dalam majlis tersebut, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis telah menerima penarafan lima (5) bintang bagi Pengurusan Aduan Awam, meliputi lima aspek utama iaitu Kecekapan Respon Awam, Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan, Pemerkasaan Kompetensi Pengurusan Aduan, Kecekapan Proses Kerja dan Komunikasi Awam Strategik.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Perkhidmatan Awam Negeri Perlis dalam memperkukuh pengurusan aduan serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Penarafan tersebut juga menjadi pengiktirafan terhadap usaha warga kerja dalam memastikan setiap aduan, pandangan dan maklum balas awam diurus secara cekap, responsif dan berkesan.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai kanan Kementerian dan agensi kerajaan.
Usai majlis, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis bersama YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut mengambil kesempatan menziarahi pusara Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebagai tanda penghormatan serta mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada negara.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook



