MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI PERLIS BILANGAN 6 TAHUN 2026
Tarikh : 29 September 2026 (Selasa)
Tempat : Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis
YB Dato’ Noor Azman bin Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis telah hadir ke Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis Bilangan 6 tahun 2026 yang diadakan di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis. Turut hadir YB Tuan Rus'sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Tuan Saharuddin bin Sarwan, Pegawai Kewangan Negeri Perlis dan YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis.
Majlis ini menghimpunkan seluruh warga perkhidmatan awam Negeri Perlis sebagai platform penyampaian maklumat, dasar dan amanat Kerajaan Negeri, selain menjadi wadah untuk memperkukuh kesatuan, komitmen serta semangat kebersamaan antara kepimpinan negeri dan penjawat awam dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus diperkasa.
Majlis pada kali ini dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis serta Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), SUK Perlis. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negeri Perlis, lagu Negaraku dan lagu Perkhidmatan Awam, diikuti dengan bacaan Ikrar Perkhidmatan Awam oleh penjawat awam negeri sebagai simbol komitmen dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti.
Majlis turut diserikan dengan slot Tadabbur Al-Quran yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Haafizuddin bin Abirerah, Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis sebagai pengisian rohani kepada para hadirin. Turut diadakan Sesi Perkongsian Ilmu oleh Qaizer Consultancy bertajuk “Wasiat Pengurusan Harta Pusaka dan Hibah Simpanan”.
Dalam ucapan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis memaklumkan mengenai sambutan ulang tahun ke-80, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus dikenang sebagai institusi penting yang telah melalui lapan dekad dalam memberikan perlindungan, kebajikan dan intervensi sosial kepada golongan yang memerlukan, selaras dengan moto “Berkat Berjasa”.
Dalam bidang sukan, Kontinjen Negeri Perlis di SUKMA Selangor 2026 berjaya mencipta sejarah baharu dengan pungutan 17 pingat emas, iaitu pencapaian emas tertinggi sepanjang 40 tahun penyertaan Perlis dalam temasya SUKMA. Kejayaan tersebut turut disusuli pencapaian membanggakan Kontinjen Para SUKMA Perlis yang membawa pulang 10 pingat emas. Pencapaian ini membuktikan semangat juang dan kesungguhan atlet Perlis dalam mengharumkan nama negeri di pentas sukan kebangsaan. Kerajaan Negeri turut mempertimbangkan insentif kemenangan bagi setiap pingat emas yang diraih oleh atlet SUKMA dan Para SUKMA Perlis.
Sementara itu, sektor pelancongan terus menunjukkan momentum positif menerusi Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 yang merekodkan kehadiran lebih 66,000 pengunjung, meningkat 49 peratus berbanding tahun sebelumnya. Penyertaan hampir 1,100 peserta dari 15 negara dalam Pertandingan Perahu Naga Antarabangsa turut memperlihatkan keupayaan Perlis mengangkat acara warisan dan sukan tradisi ke pentas antarabangsa.
Momentum penganjuran acara berprestij negeri turut diteruskan menerusi Five Nation Stamp Exhibition Perlis, Malaysia 2026 yang menghimpunkan penyertaan dari Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam, dengan Bangladesh sebagai negara jemputan. Pameran yang menampilkan 98 koleksi melalui 325 bingkai ini bukan sahaja memperkaya khazanah filateli, malah menjadi satu lagi platform untuk memperkenalkan Perlis sebagai negeri yang berupaya menganjurkan program bertaraf antarabangsa.
Perhimpunan diteruskan dengan persembahan bercerita oleh saudari Nurul Jannah binti Hamdi, Johan Pertandingan Kalam Al-Athfal Sempena Program Khalifah Junior Madani Peringkat Kebangsaan Anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia Tahun 2026 yang bertajuk “Impian dan Cita-Citaku”. Perhimpunan kemudiannya diteruskan dengan sesi meraikan atlet SUKMA dan Para SUKMA Negeri Perlis yang telah mengharumkan nama negeri pada temasya SUKMA Selangor 2026. Sebagai tanda penghargaan atas kejayaan dan pengorbanan yang dicurahkan, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis berkesempatan mengalungkan pingat kepada para atlet yang telah berjaya menyumbangkan pingat kepada kontinjen negeri pada temasya berkenaan.
Majlis turut menyaksikan pengenalan Baju Korporat 2026 Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, sebagai salah satu usaha memperkukuh identiti korporat serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga perkhidmatan awam Negeri Perlis.
Kesemua perkembangan dan pencapaian ini mencerminkan momentum pembangunan Perlis yang semakin kukuh, memperkasa kebajikan rakyat, mengangkat kecemerlangan sukan, memperluas sektor pelancongan serta membuka ruang ekonomi baharu kepada masyarakat.
Turut hadir sama dalam majlis ini Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Setiausaha-Setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook



