MAJLIS PERASMIAN PESTA AIR ANTARABANGSA KUALA PERLIS 2026
Tarikh : 4 September 2026 (Jumaat)
Tempat : Kampung Wai, Kuala Perlis
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 yang berlangsung meriah di Kampung Wai, Kuala Perlis.
Turut hadir, YAB Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Menteri Besar Perlis, YB Tuan Rus'sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, YB Dato' Noor Azman bin Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Tuan Yang Zaimey bin Yang Ghazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, YB Tuan Saharuddin bin Sarwan, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis serta Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis bukan sekadar acara hiburan dan pertandingan sukan air, sebaliknya menjadi platform untuk mengangkat identiti, warisan serta potensi Kuala Perlis sebagai destinasi pelancongan pesisir air yang unik.
Kuala Perlis mempunyai keistimewaan tersendiri, daripada kehidupan masyarakat nelayan, perahu tradisional dan budaya masyarakat pesisir, hinggalah kepada keenakan makanan laut, gastronomi tempatan serta keindahan muara dan perairannya. Kesemua khazanah ini merupakan aset istimewa yang mencerminkan wajah sebenar Kuala Perlis serta menjadi tarikan yang sukar ditemui di tempat lain.
Pelbagai acara menarik turut dianjurkan sepanjang pesta ini, antaranya Pertandingan Perahu Berhias, Pertandingan Perahu Naga, Pertandingan Perahu Tradisi, Pertandingan Keceriaan Kampung serta Sukan Rakyat, sekali gus menyemarakkan suasana dengan semangat komuniti dan tradisi setempat.
Pada majlis berkenaan, DYMM Tuanku Raja Perlis turut berkenan menyempurnakan perasmian Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026, yang menjadi antara acara penting dalam usaha memperkasa sektor pelancongan dan mengetengahkan keunikan Kuala Perlis.
Diharapkan penganjuran Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan, memperkukuh ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang kepada komuniti dan pengusaha tempatan.
Turut hadir bersama YBrs. Encik Rusdi bin Yahya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), YBrs. Dr. Noriman bin Rojulai, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Negeri Perlis, Setiausaha-Setiausaha Bahagian, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Urus setia Majlis serta pelbagai lapisan rakyat Negeri Perlis.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook



