PROGRAM PERLIS MERDEKA CLEAN-UP DAY 2026
Tarikh : 15 Ogos 2026 (Sabtu)
Tempat : Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, Selangor
YB Tuan Izizam bin Ibrahim, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) telah merasmikan Program Perlis Merdeka Clean-Up Day 2026 yang berlangsung di Bekas Tapak Cerapan Hilal, Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.
Turut hadir sama YB Tuan Haji Razali bin Saad, ADUN Simpang Empat, Puan Maizura binti Shamsuddin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Encik Fadli bin Idris, Pengarah SWCorp Negeri Perlis, Encik Mohd Helmi bin Othman, Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, PSUK Perlis serta wakil UniSIRAJ dan GRASS Malaysia.
Program anjuran Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis ini berjaya mengumpulkan sebanyak 401.65 kilogram sisa pepejal dalam tempoh satu jam, menerusi usaha gotong-royong yang menghimpunkan kerajaan, institusi pendidikan, agensi berkaitan dan masyarakat dalam usaha memperkukuh budaya kebersihan serta kelestarian alam sekitar sebagai satu tanggungjawab bersama.
Bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026, program ini turut menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme melalui tindakan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat dan alam sekitar.
Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau menghadiri acara rasmi, tetapi lebih penting ialah menghayati erti kemerdekaan melalui tindakan, kesedaran dan tanggungjawab kita sebagai rakyat. Semangat gotong-royong yang dizahirkan melalui program ini mencerminkan nilai-nilai murni yang menjadi asas kekuatan negara, khususnya perpaduan, kerjasama, semangat kejiranan serta rasa cinta kepada negeri dan negara.
Pelaksanaan program ini juga selari dengan komitmen Kerajaan Negeri Perlis dalam memperkukuh agenda Perlis Bersih, yang memberi penekanan kepada pengurusan sisa pepejal secara lebih berkesan, pembudayaan amalan kitar semula, pengurangan pencemaran serta pembentukan komuniti yang lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap kebersihan serta kelestarian alam sekitar.
Semoga usaha murni ini bukan sahaja menghasilkan persekitaran yang lebih bersih, malah menjadi simbol perpaduan dan kebersamaan rakyat Perlis dalam menyemarakkan semangat cintakan negeri dan negara bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2026.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook



