MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI PERLIS BILANGAN 5 SERTA MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DAN KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG SEMPENA BULAN KEBANGSAAN PERINGKAT NEGERI PERLIS TAHUN 2026
Tarikh : 10 Ogos 2026 (Isnin)
Tempat : Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis
YAB Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Menteri Besar Perlis telah hadir ke Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis Bilangan 5 serta Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 yang diadakan di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.
Turut hadir YB Tuan Rus'sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Noor Azman bin Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Tuan Yang Zaimey bin Yang Ghazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, YB Tuan Saharuddin bin Sarwan, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis serta Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Majlis ini menghimpunkan seluruh warga perkhidmatan awam Negeri Perlis sebagai platform penyampaian maklumat, dasar dan amanat Kerajaan Negeri, selain menjadi wadah untuk memperkukuh kesatuan, komitmen serta semangat kebersamaan antara kepimpinan negeri dan penjawat awam dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus diperkasa.
Majlis pada kali ini dianjurkan oleh Unit Komunikasi Korporat, Bahagian Pengurusan Majlis, Protokol dan Istiadat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negeri Perlis dan Perkhidmatan Awam, diikuti bacaan Ikrar Perkhidmatan Awam oleh penjawat awam negeri sebagai simbol komitmen dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti.
Majlis turut diserikan dengan slot Tadabbur Al-Quran yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Haafizuddin bin Abirerah, Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis sebagai pengisian rohani kepada para hadirin. Turut diadakan Sesi Perkongsian Ilmu yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Abdul Fatah bin Fadzil, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis bertajuk “Derma Darah”.
Dalam amanatnya, YAB Menteri Besar menyeru seluruh warga perkhidmatan awam Negeri Perlis untuk terus memperkukuh semangat patriotisme dan ketahanan nasional melalui pelaksanaan inisiatif Gelombang “Aku Kasih Malaysia” sebagai satu gerakan nasional dalam menyemarakkan semangat cintakan negara, memperkukuh perpaduan serta menyuburkan rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan rakyat.
YAB Menteri Besar turut menekankan kepentingan memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi dalam kalangan penjawat awam dengan meningkatkan kecekapan, mengamalkan integriti serta sentiasa memberikan perkhidmatan yang berkualiti, cekap dan responsif kepada rakyat.
Dalam aspek kelestarian alam sekitar, Kerajaan Negeri Perlis akan terus komited dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui pelbagai inisiatif, termasuk mengekalkan kawasan Hutan Simpanan Kekal, memperkukuh konservasi biodiversiti menerusi Pelan Pengurusan Biodiversiti Taman Negeri Perlis 2024–2034, serta meneruskan Kempen Penghijauan Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13). Melalui Kempen Penghijauan Malaysia ini, sebanyak 2.0 juta pokok disasarkan untuk ditanam dalam tempoh lima tahun dengan penglibatan jabatan dan agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat.
YAB Menteri Besar turut menyempurnakan penyampaian Sijil Pentauliahan Ahli AKRAB kepada 21 orang kakitangan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis yang telah berjaya memenuhi syarat dan ditauliahkan sebagai Ahli AKRAB. Pentauliahan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh aspek kesejahteraan warga perkhidmatan awam serta menyediakan sokongan yang sewajarnya dalam mewujudkan persekitaran kerja yang positif dan harmoni.
Turut disampaikan Sijil Penghargaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perlis, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perlis, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis dan Majlis Sukan Negeri Perlis sebagai pengiktirafan terhadap komitmen serta kejayaan jabatan dan agensi berkenaan dalam melaksanakan inisiatif penambahbaikan proses kerja dan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan berkesan.
Kemuncak majlis, YAB Menteri Besar Perlis telah menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 melalui simbolik pelancaran sebagai tanda bermulanya sambutan Bulan Kebangsaan di Negeri Perlis dan nyanyian lagu Negaraku. Seluruh warga Perlis turut diseru untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta, bangga dan setia kepada Malaysia.
Turut hadir sama dalam majlis ini Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Setiausaha-Setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook



