SESI 1: PROGRAM I FIT AND EAT RIGHT (IFitEr) PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PERLIS 2026
Tarikh : 1 Julai 2026
Tempat : Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis
Program I Fit and Eat Right (IFitEr) merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertujuan membantu peserta mencapai berat badan yang sihat di samping meningkatkan tahap kecergasan fizikal melalui amalan gaya hidup sihat. Pelaksanaan program ini juga merupakan sebahagian daripada usaha menyokong pelaksanaan Inisiatif Penjawat Awam Sihat Sejahtera yang akan diperluaskan di Negeri Perlis pada masa hadapan.
Program ini dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Wellness Hub Kangar dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis. Tempoh pelaksanaan program adalah selama 24 minggu, yang merangkumi 12 minggu sesi bersemuka bersama jurulatih bertauliah, diikuti 12 minggu pelaksanaan secara kendiri bagi membolehkan peserta meneruskan amalan gaya hidup sihat secara berterusan.
Sesi pertama program dimulakan dengan aktiviti Fun Robic yang dikendalikan oleh barisan jurulatih dari Wellness Hub Kangar sebagai aktiviti pemanasan badan. Seterusnya, peserta menjalani ujian saringan kecergasan yang merangkumi ujian berjalan atau berlari selama 12 minit, ujian tekan tubi selama satu minit serta ujian bangun tubi lima langkah bagi menilai tahap kecergasan fizikal masing-masing. Program kemudiannya diteruskan dengan sesi taklimat mengenai pelaksanaan IFitEr, diikuti khidmat nasihat teknikal berkaitan penggunaan aplikasi BookDoc bagi menyokong pemantauan dan pelaksanaan program.
Diharapkan pelaksanaan Program IFitEr ini menjadi titik permulaan ke arah pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis. Di samping meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal, program ini juga diharapkan dapat melahirkan warga kerja yang lebih produktif, sejahtera dan berdaya saing, selain mengukuhkan semangat kebersamaan serta kerjasama dalam organisasi.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook

