MAJLIS JAMUAN TEH KASIH RAKYAT MENJUNJUNG DAULAT & PERASMIAN DEWAN FILANTROPI ISLAM MAIPS TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KEPUTERAAN KE-83 DYMM TUANKU RAJA PERLIS

Tarikh : 16 Jun 2026 (Selasa)
Tempat : Perkarangan MADI, Jejawi Dalam, Kangar Perlis

DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis telah berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Kasih Rakyat Menjunjung Daulat & Perasmian Dewan Filantropi Islam MAIPs Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 DYMM Tuanku Raja Perlis yang berlangsung di Perkarangan MADI, Kangar Perlis.

Turut berangkat, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis, Waris kedua negeri Perlis YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj, YAM Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Turut hadir bersama ke majlis ini, YAB Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Menteri Besar Perlis, YB Tuan Rus'sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Noor Azman bin Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Tuan Yang Zaimey bin Yang Ghazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Majlis Jamuan Teh Kasih Rakyat Menjunjung Daulat dan Perasmian Dewan Filantropi Islam MAIPs Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis.

Lebih daripada sekadar majlis keraian, penganjuran program yang penuh bermakna ini menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan antara Institusi Diraja Perlis dengan rakyat jelata. Dewan yang dirasmikan ini bakal menjadi mercu tanda kepada usaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam memperluaskan inisiatif filantropi Islam serta memperkasa pembangunan sosioekonomi ummah.

Penganjuran majlis ini turut menzahirkan rasa syukur atas nikmat keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran negeri Perlis di bawah naungan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis. Dalam majlis tersebut, Baginda telah berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Dewan Filantropi Islam MAIPs Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, di samping mengurniakan sumbangan peruntukan MAIPs, Anugerah Tokoh Usahawan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), serta menyerahkan Coffee Table Book YTSP kepada Perpustakaan Negeri Perlis dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Hadir sama dalam majlis ini YBrs. Encik Rusdi bin Yahya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), YBrs. Dr Noriman bin Rojulai, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan), Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Setiausaha-Setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, pihak YTSP, wakil-wakil jabatan yang terlibat.

Sumber : SUK Perlis Official Facebook

 
 
 

splwpk-procurement splwpk-online-e-participation Dasar Privasi

Dasar Privasi

Dasar Privasi

Penafian

MYHRMIS MOBILE

PAUTAN LUAR