MAJLIS PERASMIAN PENUTUP NAKAWAN RAINFOREST FESTIVAL (NRF) BAGI HARI HUTAN ANTARABANGSA PERINGKAT NEGERI PERLIS TAHUN 2026
Tarikh : 07 Jun 2026 (Ahad)
Tempat : Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Sungai Batu Pahat
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis telah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Penutup Nakawan Rainforest Festival (NRF) Bagi Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 yang berlangsung di Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Sungai Batu Pahat. Turut berangkat mengiringi Baginda ialah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis.
Turut hadir bersama ke majlis ini, YB Tuan Rus'sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Noor Azman bin Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Ahli-Ahli Yang Berhormat, YBhg. Dato’ Mohd Radhi Chu bin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Operasi & Teknikal, Jabatan Perhutanan Malaysia dan Encik Ag Shaffie bin Ag Ahmadni, Pengarah, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.
Penganjuran Nakawan Rainforest Festival yang memasuki siri ketiga pada tahun ini menampilkan pelbagai pengisian berteraskan alam semula jadi, warisan dan komuniti dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat. Festival ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Sepanjang sembilan hari penganjurannya bermula 30 Mei hingga 7 Jun 2026, festival ini telah menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik termasuk Pasar Warisan, pameran ikhtiar hidup, demonstrasi masakan dalam buluh, teknik kelangsungan hidup di hutan serta pameran interaktif yang disertai oleh 18 pempamer daripada pelbagai agensi dan organisasi.
Selain itu, festival ini turut menampilkan forum perdana dan siri audio siar yang melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta sekolah-sekolah, dengan memberi penekanan kepada peranan semua pihak dalam memastikan kelestarian hutan dan khazanah alam semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Pada majlis tersebut, DYMM Tuanku Raja Perlis telah berkenan menyempurnakan simbolik perasmian penutupan Nakawan Rainforest Festival (NRF) Bagi Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026.
Hadir sama dalam majlis ini Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, wakil-wakil jabatan dan agensi berkaitan serta urus setia Majlis.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook

