MAJLIS PERASMIAN MASJID AL-KAUTHAR KAMPUNG PAYA SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KEPUTERAAN KE-83 DYMM TUANKU RAJA PERLIS
Tarikh : 16 April 2026 (Khamis)
Tempat : Masjid Al-Kauthar, Kampung Paya
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis telah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Al-Kauthar Kampung Paya Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 DYMM Tuanku Raja Perlis yang diadakan di Masjid Al-Kauthar, Kampung Paya, Perlis. Turut berangkat bersama DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis.
Turut hadir bersama dalam majlis YB Tuan Izizam bin Ibrahim, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Hal Ehwal Agama) mewakili YAB Menteri Besar Perlis, Tuan Rus'sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, YB Dato' Noor Azman bin Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Tuan Yang Zaimey bin Yang Ghazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, YB Tuan Saharuddin bin Sarwan, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Majlis dimulakan dengan solat Isyak secara berjemaah. Seterusnya, DYMM Tuanku Raja Perlis berkenan menyampaikan titah, menzahirkan bahawa masjid merupakan institusi yang amat penting dalam kehidupan umat Islam, bukan sekadar tempat untuk menunaikan ibadah solat, bahkan berperanan sebagai pusat pembangunan ummah, medan penyatuan masyarakat serta pusat penyebaran ilmu dan dakwah. Baginda turut menyifatkan pembinaan semula Masjid Al-Kauthar ini sebagai satu usaha yang amat murni dan signifikan, serta menzahirkan bahawa penganjuran majlis ini amat bertepatan kerana diadakan sempena penutup Sambutan Jubli Perak Pemerintahan serta Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-83.
Dalam hubungan itu, baginda berharap agar masjid ini dapat diimarahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan yang mampu memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat, khususnya penduduk Kampung Paya dan kawasan sekitarnya. Selain itu, baginda bertitah bahawa masjid hendaklah berperanan sebagai pusat pembentukan akhlak dan sahsiah dalam melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan beramal soleh, serta tidak terhad kepada pelaksanaan solat berjemaah semata-mata, sebaliknya diperluaskan kepada program pengajian ilmu, pembangunan belia, kebajikan masyarakat serta pengukuhan institusi keluarga.
Majlis kemudian diteruskan dengan simbolik perasmian oleh DYMM Tuanku Raja Perlis sebagai tanda pembukaan rasmi Masjid Al-Kauthar untuk dimanfaatkan oleh masyarakat setempat. DYMM Tuanku Raja Perlis seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan surat penghargaan kepada para pewakaf sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka dalam menjayakan pembinaan masjid ini.
Hadir sama Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Setiausaha-Setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Pegawai-pegawai Kanan MAIPs dan JAIPs, Wakil-Wakil Jabatan serta AJK dan Kariah Masjid Al-Kauthar, Kampung Paya
Sumber : SUK Perlis Official Facebook

