SOLAT SUNAT AIDILFITRI DI DATARAN ISTIADAT ISTANA ARAU DAN MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI @ ISTANA ARAU
Tarikh : 21 Mac 2026 (Sabtu)
Tempat : Dataran Istiadat Istana Arau
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis telah berkenan berangkat diiringi oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Dataran Istiadat Istana Arau. Turut berangkat sama cucunda YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, YAM Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Solat Sunat Aidilfitri telah diimamkan oleh Ustaz Amnan Wuthqa bin Azanol, Imam Besar Negeri Perlis. Manakala, Khutbah solat sunat Aidilfitri telah disampaikan oleh Sahibus Samahah Dato' Arif Perkasa Prof Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis.
Sejurus selesai solat, Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri @ Istana Arau telah diadakan di Dataran Majlis (bahagian belakang), bermula pada jam 9.30 pagi hingga 12.00 tengah hari dalam suasana penuh kemeriahan dan keberkatan.
Semoga sambutan Aidilfitri ini terus menyemarakkan semangat ukhuwah, memperkukuh perpaduan serta menyuburkan nilai kebersamaan dalam kalangan rakyat Negeri Perlis, selari dengan keberkatan Syawal yang diraikan bersama.
Hadir bersama YAB Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Menteri Besar Perlis, YB Tuan Rus'sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, YB Dato' Noor Azman bin Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Tuan Saharuddin bin Sarwan, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta rakyat Negeri Perlis.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook

