PEMBUKAAN PUSAT PENDAFTARAN MANGSA BAGI BENCANA BANJIR NEGERI PERLIS TAHUN 2025
Tarikh : 10 - 11 Februari 2026 (Selasa-Rabu)
Tempat : Dewan Warisan, Kangar Perlis
Kerajaan Negeri Perlis melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah membuka Pusat Pendaftaran Mangsa (PPM) bagi bencana banjir Negeri Perlis tahun 2025. PPM ini telah beroperasi selama dua (2) hari, iaitu pada 10 hingga 11 Februari 2026, bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang bertempat di Dewan Warisan, Kangar, Perlis.
Pembukaan PPM ini bertujuan membantu mangsa-mangsa banjir yang tidak berpeluang atau tercicir daripada mendaftar semasa pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada musim banjir yang lalu. Inisiatif ini memastikan tiada mangsa yang layak terlepas daripada proses pendaftaran dan penyaluran bantuan yang sewajarnya.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) turut memainkan peranan penting dengan membantu mangsa membuat semakan status penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI). Sepanjang tempoh dua hari operasi, seramai 922 Ketua Isi Rumah (KIR) telah direkodkan mendaftar di PPM. Proses pendaftaran dilaksanakan sepenuhnya menggunakan aplikasi MyIBJKM melalui imbasan kod QR unik bagi memastikan urusan lebih sistematik, pantas dan teratur.
Pembukaan PPM ini merupakan hasil kerjasama bersepadu pelbagai jabatan dan agensi negeri termasuk Bahagian Pentadbiran Daerah (BPD), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA serta jabatan-jabatan berkaitan yang lain. Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, khususnya dalam menghadapi situasi bencana.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook

