MAJLIS PEMASYHURAN UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA TUANKU SYED SIRAJUDDIN (UniSIRAJ)
Tarikh : 13 November 2025 (Khamis)
Tempat : Dewan 2020, Kangar, Perlis
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis dan DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Perempuan Perlis telah berkenan berangkat ke Majlis Pemasyhuran Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) yang berlangsung di Dewan 2020, Kangar, Perlis.
Turut berangkat, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis serta YAM Tengku Puteri Mahkota Perlis Dato’ Seri Datin Paduka Hajah Sharifah Fazira binti Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Turut hadir bersama YAB Tuan Mohd Shukri bin Ramli, Menteri Besar Perlis dan YABhg. isteri, YB Tuan Rus’sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis dan YBhg. isteri, YB Dato’ Rahimi bin Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan YBhg. Datin, YB Tuan Yang Zaimey bin Yang Ghazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, YB Tuan Saharuddin bin Sarwan, Pegawai Kewangan Negeri Perlis dan YBhg. Isteri, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis serta YBrs. Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle, Naib Cancelor UniSIRAJ.
Majlis dimulakan dengan tayangan video montaj yang menampilkan sejarah penubuhan dan pencapaian UniSIRAJ, diikuti dengan simbolik pelancaran identiti baharu universiti, yang menandakan era transformasi UniSIRAJ sebagai institusi pendidikan tinggi Islam bertaraf global.
DYMM Tuanku Raja Perlis turut berkenan menyempurnakan simbolik dan seterusnya menyempurnakan pengisytiharan Naib Canselor UniSIRAJ, diikuti dengan pengurniaan logo UniSIRAJ kepada Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah (ALP) dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) sebagai simbol kesinambungan kepimpinan dan aspirasi baharu universiti.
Semangat penghargaan dan pengiktirafan diteruskan apabila DYMM Tuanku Raja Perlis berkenan menyempurnakan Pengurniaan Anugerah Penghargaan Bakti Dikenang, sebelum baginda menyampaikan amanat serta titah pemasyhuran UniSIRAJ menandakan permulaan baharu bagi universiti ini sebagai pusat kecemerlangan akademik dan pembangunan insan berteraskan nilai Islam.
Majlis Pemasyhuran ini bukan sekadar simbol transformasi, tetapi manifestasi tekad negeri Perlis dalam menjulang martabat ilmu, memperkukuh institusi pendidikan Islam, dan mengangkat UniSIRAJ sebagai mercu kebanggaan negeri yang terus menyinari dunia keilmuan di peringkat antarabangsa.
Detik bersejarah ini mencerminkan dedikasi UniSIRAJ dalam melahirkan generasi pelajar berwawasan global, serta meneguhkan peranan universiti sebagai pemacu kecemerlangan pendidikan, keilmuan dan kepimpinan ummah.
Turut hadir sama dalam majlis Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Pegawai-Pegawai Kanan UniSIRAJ, serta wakil-wakil jabatan dan agensi berkaitan.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook

