MAJLIS PERASMIAN PENUTUP DAN PENYAMPAIAN ANUGERAH IDEA BESTARI 2025
Tarikh : 30 Oktober 2025 (Khamis )
Tempat : Dewan 2020, Kangar, Perlis
YAB Tuan Mohd Shukri bin Ramli, Menteri Besar Perlis telah hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Anugerah IDEA BESTARI 2025 yang berlangsung di Dewan 2020, Persiaran Wawasan, Kangar, Perlis. Turut hadir sama YB Tuan Mohd Ridzuan bin Hashim, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Sains, Teknologi & Inovasi); YB Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis serta Ahli-ahli Yang Berhormat.
Program IDEA BESTARI 2025 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Perlis melalui Pejabat EXCO Belia & Sukan serta Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Perlis, dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pusat Inovasi & Pengkomersialan (CIC) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta Majlis Belia Negeri Perlis (MBN). Penganjuran ini diadakan bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis, menzahirkan komitmen negeri dalam memperkukuh budaya inovasi, kreativiti dan penyelidikan ilmiah di negeri ini.
Pameran Inovasi IDEA BESTARI 2025 menghimpunkan lebih daripada 100 kumpulan penyertaan melibatkan hampir 500 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk penyelidik universiti, komuniti setempat dan pelajar sekolah di seluruh negeri Perlis. Program ini menyediakan platform bagi memperkenalkan hasil inovasi tempatan yang berpotensi dikomersialkan serta mampu diketengahkan ke peringkat nasional dan antarabangsa, selain memperkukuh jaringan kerjasama antara kerajaan, institusi akademik dan masyarakat.
Dalam majlis tersebut, YAB Menteri Besar turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Seusai penyampaian hadiah, YAB Menteri Besar berkesempatan melawat tapak pameran bagi meninjau sendiri hasil-hasil inovasi yang dipamerkan. Lawatan tersebut memperlihatkan minat mendalam beliau terhadap usaha-usaha kreatif dan penyelidikan yang dijalankan oleh para peserta, yang menonjolkan idea-idea segar serta berpotensi besar untuk dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Majlis penutup ini bukan sekadar mengiktiraf pencapaian para inovator, malah menjadi simbol perpaduan dan semangat baharu dalam usaha menjadikan Perlis sebagai negeri yang progresif, berdaya cipta dan berorientasikan teknologi. Dengan penganjuran IDEA BESTARI 2025, Kerajaan Negeri Perlis terus komited memupuk ekosistem inovasi yang mapan, menjadikan ilmu dan kreativiti sebagai teras utama ke arah masa depan Perlis yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera.
Hadir sama dalam majlis ini, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Setiausaha-Setiausaha Bahagian, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Pegawai-pegawai Kanan (MAIPs), Pusat Inovasi & Pengkomersialan (CIC), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Belia Negeri Perlis, Pelajar-Pelajar IPTA dan IPTS, Pelajar-Pelajar Sekolah dan Urus setia Program Inovasi IDEA BESTARI 2025.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook

