PERHIMPUNAN BULANAN PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI PERLIS BILANGAN 7 TAHUN 2025
Tarikh : 02 Oktober 2025 (Khamis)
Tempat : Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis
YAB Tuan Mohd Shukri bin Ramli, Menteri Besar Perlis telah hadir ke Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis Bilangan 7 Tahun 2025 di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis. Turut hadir bersama YB Tuan Rus'sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, YB Tuan Saharuddin bin Sarwan, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Perhimpunan ini menghimpunkan seluruh anggota perkhidmatan Kerajaan Negeri dan merupakan satu platform penyampaian maklumat serta dasar-dasar Kerajaan Negeri. Perhimpunan ini adalah satu tanda bahawa sebagai penjawat awam dan kepimpinan tertinggi sentiasa bersama-sama dalam menggerakkan satu kekuatan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Perhimpunan pada kali ini telah dianjurkan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negeri Perlis, Negaraku dan Perkhidmatan Awam, disusuli Ikrar Perkhidmatan Awam oleh penjawat awam negeri Perlis serta slot Tadabbur Al- Quran yang disampaikan oleh Al-Fadzil Ustaz Amnan Wuthqa bin Azanol daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis.
Terdahulu, satu sesi perkongsian ilmu telah disampaikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis berkaitan Kempen Pendaftaran Awal Mangsa Bencana serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis mengenai Hari Sukan Negara.
YAB Menteri Besar Perlis memaklumkan bahawa bulan Oktober merupakan Bulan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN), iaitu agenda nasional yang disambut setiap tahun pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober sejak tahun 2015. Penganjuran ini bertujuan membudayakan serta merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat melalui amalan gaya hidup cergas dan aktif.
Pelbagai aktiviti telah dirancang bersempena Sambutan Hari Sukan Negara peringkat Negeri Perlis. YAB Menteri Besar menyeru semua jabatan dan agensi untuk turut serta secara aktif dalam menjayakan HSN 2025.
Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Perlis melalui Bahagian Kerajaan Tempatan bersama jabatan dan agensi berkaitan seperti Majlis Perbandaran Kangar, JKR, JPS, SWCorp, E-Idaman serta Jabatan Kesihatan Negeri Perlis telah menganjurkan Hari Cuci Malaysia Peringkat Negeri Perlis 2025 yang berlangsung di Dataran IMAB, Kuala Perlis. Program ini melibatkan seramai 2,118 orang peserta di 15 lokasi pembersihan seluruh negeri.
Selain itu, Kerajaan Negeri Perlis juga telah melancarkan Skim Kafalah Perlis, iaitu inisiatif bantuan khairat kematian bernilai RM500 yang terbuka kepada semua kaum dan agama. Sebanyak RM1 juta setahun diperuntukkan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya ketika berdepan ujian kehilangan ahli keluarga.
Pada majlis tersebut, YAB Menteri Besar Perlis turut menyempurnakan penganugerahan Sijil Pencapaian Kamus Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada jabatan yang telah memperolehi pencapaian cemerlang iaitu 100% bagi keseluruhan elemen yang dinilai. Majlis kemudiannya diserikan dengan persembahan daripada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).
Selain pengisian utama, turut diadakan program sampingan seperti Jualan Rahmah, jualan usahawan Puspanita Negeri, jualan usahawan JKM, pemeriksaan kesihatan, agihan 100 ekor ikan susu secara percuma kepada pengunjung terawal yang dibawa oleh Jabatan Perikanan Negeri Perlis serta pameran oleh agensi-agensi berkaitan yang mendapat sambutan baik daripada penjawat awam dan orang ramai.
Turut hadir pada majlis ini YBrs. Encik Rusdi bin Yahya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), YBrs. Dr Noriman bin Rojulai, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan), Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Setiausaha-Setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook

