PERSIDANGAN PSIKOLOGI PERKHIDMATAN AWAM KALI KE-29 TAHUN 2025
Tarikh : 29 September 2025 (Isnin)
Tempat : Auditorium Seri Angkasa, Kota Media Angkasapuri, Kuala Lumpur
Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Kali Ke-29 Tahun 2025 yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media Angkasapuri Kuala Lumpur menghimpunkan pegawai psikologi serta warga perkhidmatan awam dari pelbagai agensi seluruh negara. Dengan berteraskan tema “AI & Persona Diri: Kemandirian di Era Infodemik”, persidangan ini memberi tumpuan kepada usaha memperkasa peranan psikologi dalam meningkatkan kesejahteraan dan daya tahan mental penjawat awam, di samping memperkukuh jaringan kerjasama dan perkongsian kepakaran antara agensi. Program ini juga merupakan kolaborasi JPA dengan Kementerian Komunikasi serta rakan strategik Jabatan Penyiaran Malaysia.
Antara pengisian utama hari ini ialah Program Wacana Minda yang membincangkan pelbagai topik bersama panel jemputan iaitu YBrs. Encik Roslan bin Ariffin, Pengarah IPPTAR yang membawakan tajuk “Telekomunikasi Inklusif, Media Beretika, Negara Sejahtera”; YBhg. Datuk Suhaimi bin Sulaiman, Ketua Pengarah RTM dengan tajuk “Media Massa: Menjunjung Fakta @ Manipulasi Emosi”; serta YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Aziz Mohammed, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO yang berkongsi melalui tajuk “Di Balik Lensa Modenisasi: PERKESO Sentiasa Ada Bersama”. Turut diadakan Podcast “Bebas Berkongsi, Bijak Memilih” bersama Encik Nazri Hamdan dan Encik Mohd Nur Hafeez bin Jumaat (PERKESO) serta sesi “Seketika Bersama” bersama YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
Majlis Perasmian disempurnakan oleh YB Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan seterusnya menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pegawai Psikologi, Anugerah Naziran Standard Kualiti Perkhidmatan Psikologi Pengurusan Sumber Manusia serta pelancaran Buku Kompendium Rekomendasi Polisi Kesejahteraan Psikologi Perkhidmatan Awam. Dalam majlis ini juga, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis telah dianugerahkan Sijil Penarafan 5 Bintang Standard Kualiti Perkhidmatan Psikologi Sumber Manusia (SKPPSM) yang diterima oleh YBrs. Dr. Noriman bin Rojulai, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan) bagi pihak SUK Perlis. Penarafan ini merupakan penilaian standard oleh JPA untuk memastikan kualiti dan kecemerlangan perkhidmatan psikologi dalam pengurusan sumber manusia.
Persidangan ini bukan sekadar platform berkongsi ilmu dan pengalaman, tetapi manifestasi komitmen berterusan untuk memperkukuh daya saing dan kesejahteraan psikologi dalam perkhidmatan awam. Semoga segala input, jaringan dan pengetahuan yang diperoleh menjadi pemangkin kepada transformasi yang lebih inklusif, inovatif dan mampan demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Pada masa yang sama, persidangan ini juga membuka ruang santai untuk para peserta bertemu pakar, berkongsi idea dan membina semangat baharu dalam memperkasa kesejahteraan psikologi di tempat kerja agar perkhidmatan kepada rakyat sentiasa terbaik.
Turut hadir bagi memeriahkan persidangan ini adalah Rakan Pembimbang Perkhidmatan Awam (AKRAB) PSUK Perlis serta beberapa kakitangan mewakili Jabatan/ agensi dibawah Pentadbiran ini.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook

