PERHIMPUNAN BULANAN PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI PERLIS BILANGAN 4 TAHUN 2025

Tarikh : 23 Mei 2025 (Jumaat)

Lokasi : Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis

YAB Tuan Mohd Shukri bin Ramli, Menteri Besar Perlis telah hadir ke Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis Bilangan 4 Tahun 2025 di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis. Turut hadir bersama YB Tuan Rus'sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, YB Dato’ Rahimi bin Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Tuan Yang Zaimey bin Yang Ghazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, YB Tuan Saharuddin bin Sarwan, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Perhimpunan ini menghimpunkan seluruh anggota perkhidmatan Kerajaan Negeri dan merupakan satu platform penyampaian maklumat serta dasar-dasar Kerajaan Negeri. Perhimpunan ini adalah satu tanda bahawa sebagai penjawat awam dan kepimpinan tertinggi sentiasa bersama-sama dalam menggerakkan satu kekuatan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Perhimpunan dimulakan dengan Nyanyian lagu Negeri Perlis, Negaraku dan perkhidmatan awam disusuli ikrar perkhidmatan awam oleh penjawat awam negeri Perlis. Majlis seterusnya diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu dari Jabatan pertanian Negeri Perlis dengan tajuk Harumanis Perlis : Warisan Emas Hijau.

YAB Menteri Besar Perlis dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada jabatan, agensi dan semua yang terlibat menjayakan sambutan Jubli Perak tersebut, termasuk Sambutan Hari Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis pada 17 Mei 2025 yang lalu. Pelbagai program telah dilaksanakan seperti Majlis Perasmian Mercu Tanda Bulatan Padang Besar, Tayangan Wayang Pacak, Istiadat Perarakan Panji-Panji Pasukan-Pasukan Rejimen Renjer Diraja, Persembahan TATU, Majlis Tilawah dan Hafazan AlQuran Peringkat Kebangsaan 2025, Program Malam Citrawarna Kuala Perlis 2025, Festival PERMAI 2025, Majlis Santapan Negeri dan Jamuan Teh Rakyat.

YAB Menteri Besar Perlis memaklumkan Kerajaan Negeri bersetuju untuk melanjutkan pelaksanaan Tahun Melawat Perlis ke tahun 2026 selari dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia pada tahun yang sama. Kerajaan Negeri akan memberi fokus kepada pelancongan berasaskan sukan atau sport-tourism, dan pelancongan berasaskan pertanian atau agro-tourism sebagai sebahagian daripada strategi dalam sektor pelancongan.

YAB Menteri Besar Perlis telah melancarkan Aplikasi Aduan Atas Talian dalam usaha menjadikan negeri Perlis sebagai sebuah negeri pintar iaitu aplikasi Electronic Complaint Perlis System atau lebih dikenali sebagai ECOMPS. ECOMPS merupakan satu inovasi yang dibangunkan oleh JKR Perlis untuk memenuhi hasrat Kerajaan Negeri dalam memperkasakan sistem aduan awam melalui penggunaan teknologi digital selaras dengan Agenda Perlis Digital. Sistem ini bertujuan untuk menggantikan sistem aduan manual kepada satu aplikasi digital yang pantas, efisien dan mesra pengguna.

Turut hadir pada majlis ini Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Setiausaha-Setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan.
 

Sumber : SUK Perlis Official Facebook

 
 
 

splwpk-procurement splwpk-online-e-participation Dasar Privasi

Dasar Privasi

Dasar Privasi

Penafian

MYHRMIS MOBILE

PAUTAN LUAR