PERHIMPUNAN BULANAN PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI PERLIS BILANGAN 2 TAHUN 2024
Tarikh : 16 Disember 2024 (Isnin)
Lokasi : Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis
Lokasi : Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis
YAB Tuan Mohd Shukri bin Ramli, Menteri Besar Perlis telah hadir ke Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis Bilangan 2 Tahun 2024 di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis. Turut hadir bersama YB Tuan Rus'sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Rahimi bin Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Tuan Yang Zaimey bin Yang Ghazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, YB Tuan Haji Zepri bin Saad, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Prof Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis dan YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis.
Perhimpunan ini menghimpunkan seluruh anggota perkhidmatan Kerajaan Negeri dan merupakan satu platform penyampaian maklumat serta dasar-dasar Kerajaan Negeri serta memperkukuhkan hubungan antara kepimpinan negeri dan seluruh penjawat awam. Perhimpunan ini merupakan satu tanda bahawa sebagai penjawat awam dan kepimpinan tertinggi sentiasa bersama-sama dalam menggerakkan satu kekuatan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
YAB Menteri Besar mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penjawat awam yang merupakan barisan tulang belakang pentadbiran negeri yang telah memberikan komitmen dan dedikasi tanpa jemu dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. YAB Menteri Besar memaklumkan, demi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam di Negeri Perlis, Kerajaan negeri bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri termasuk kakitangan kontrak.
YBrs. Dr. Zawida binti Zahari, Pengarah, Jabatan Veterinar Negeri Perlis telah membentangkan berkaitan Penyakit Rabies. Rabies, merupakan satu penyakit zoonotik yang amat berbahaya dan sekiranya tiada tindakan rawatan atau kawalan yang segera, penyakit ini boleh membawa maut dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar memandang serius dalam membendung penyakit ini daripada menular ke negeri Perlis. Jabatan Perkhidmatan Veterinar komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk program pemvaksinan anjing, penguatkuasaan pelesenaan anjing bertuan, serta kempen kesedaran secara berterusan.
Hadir sama pada perhimpunan YBrs. Encik Rusdi bin Yahya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), YBrs. Dr. Noriman bin Rojulai, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan), Setiausaha-Setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Seluruh warga Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook

