Perutusan Menteri Besar
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Saya mengalu-alukan anda semua yang melayari laman web rasmi Kerajaan Negeri Perlis ini untuk mengetahui dari dekat mengenai Negeri Perlis. Laman web ini memuatkan pelbagai maklumat yang diyakini amat berguna kepada anda semua. Antara lain ia memaparkan mengenai kedudukan negeri, sejarah, institusi Raja, bendera, lambang, infrastruktur, politik dan kebudayaan rakyat negeri ini. Justeru, pada kesempatan ini saya amat mengharapkan agar anda semua akan mengenali dari dekat Negeri Perlis yang kecil tetapi permai ini.
Negeri Perlis mempunyai keluasan negeri yang terkecil di Malaysia iaitu seluas 821 kilometer persegi dan mempunyai jumlah penduduk berjumlah 231,939 ribu orang. Negeri Perlis juga mempunyai tiga (03) Kawasan Parlimen, 15 Kawasan DUN serta diperkukuhkan dengan 387 cawangan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Walaupun Negeri Perlis adalah negeri yang terkecil di Malaysia serta mempunyai jumlah penduduk yang kecil, tetapi negeri ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Negeri Perlis kaya dengan budaya peramah rakyatnya. Ketenangan alam semula jadi amat sesuai sekali kepada anda semua yang inginkan ketenangan. Keindahan sawah padi membuatkan anda begitu terpesona, keasyikan pemandangan di Ladang Kenaf, Chuping, keindahan matahari terbit/ terbenam di pantai Kuala Perlis, keindahan awan karpet di puncak Wang Kelian, dan pelbagai lagi keindahan alam semulajadi yang terdapat di Negeri Perlis.
Selain itu, di Negeri Perlis juga terdapat pelbagai tempat rekreasi dan riadah yang menarik telah disediakan seperti Taman Ular dan Reptilia di Sungai Batu Pahat, Gua Kelam di Kaki Bukit, Tasik Melati di Beseri, Taman Herba di Bukit Ayer dan lain-lain lagi. Terdapat juga pelbagai aktiviti menarik lain yang boleh dilaksanakan di Perlis di antaranya, makan laksa di Kuala Perlis, sarapan pagi di Warung Tepi Sawah atau membeli-belah di Kedai Bebas Cukai Padang Besar dan lain-lain lagi aktiviti. Jika anda datang ke Perlis pada bulan Disember hingga ke bulan Februari, akan dapat menikmati iklim dingin seolah-olah anda berada di musim sejuk dalam sebuah negara yang mempunyai empat musim.
Terlalu banyak perkara-perkara menarik yang ada di Negeri Perlis ini dan tidak dapat diceritakan kesemuanya sekaligus. Justeru, jemputlah datang ke Negeri Perlis dan terokai segala keindahan serta pengalaman tersebut sendiri, kami rakyat Negeri Perlis sentiasa menunggu anda semua.
Dalam pada itu, dengan kedudukan Perlis di tengah-tengah kawasan Pembangunan Segi Tiga Utara (IMT-GT), telah menjadikan Negeri Perlis sebagai sebuah negeri paling strategik untuk pembangunan serantau. Negeri Perlis paling hampir dengan wilayah-wilayah di Selatan Thailand dan Utara Sumatera di samping negeri-negeri Utara Semenanjung. Ia mempunyai potensi yang cukup tinggi sebagai kawasan pembangunan baru. Beberapa kawasan perindustrian tambahan sedang dibangunkan di negeri ini. Justeru Perlis mengalu-alukan kedatangan para pelabur untuk turut melabur dan membuka kilang-kilang perindustrian.
Selamat melayari laman web rasmi Kerajaan Negeri Perlis.
Sekian, terima kasih.
