MAJLIS PENYAMPAIAN SURAT LANTIKAN AHLI TETAP MESYUARAT JAWATANKUASA PERANCANG NEGERI PERLIS
Tarikh : 24 Februari 2026 (Selasa)
Tempat : Bilik Gerakan 1, Aras 3, Kompleks Seri Putra, Kangar Perlis
YAB Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Menteri Besar Perlis, telah hadir mempengerusikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Perancang Negeri Perlis bertempat di Bilik Gerakan 1, Kompleks Seri Putra, Kangar Perlis. Turut hadir bersama dalam majlis YB Dato' Rahimi bin Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Tuan Yang Zaimey bin Yang Ghazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, YB Tuan Saharuddin bin Sarwan, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, dan YBrs. TPr. Dr. Muhamad Sabri Bin Ahmad, Pengarah, PLANMalaysia Perlis.
Majlis ini diadakan bagi penyampaian watikah pelantikan kepada Ahli Jawatankuasa Perancang Negeri Perlis yang baharu, selaras dengan peruntukan di bawah Subseksyen 4(1), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172]. YAB Menteri Besar Perlis telah menyerahkan Watikah pelantikan kepada ahli-ahli yang dilantik oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai ahli tetap Jawatankuasa Perancang Negeri Perlis berkuat kuasa mulai 29 Januari 2026.
Secara amnya, Jawatankuasa Perancang Negeri berperanan untuk mengatur, mengawal, merancang dan menyelaras semua aktiviti pemajuan di dalam Negeri Perlis, di samping melaksanakan fungsi-fungsi lain sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 4(4), 4(5) dan 4(6) Akta 172.
Pelantikan ini diharap dapat memperkukuh lagi perancangan pembangunan negeri secara lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Negeri Perlis secara menyeluruh.
Hadir sama dalam majlis ini YBrs. Encik Rusdi bin Yahya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Negeri Perlis, Setiausaha-Setiausaha Bahagian, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis serta wakil-wakil Jabatan yang terlibat.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook

