MESYUARAT AGONG TAHUNAN KE-42 PUSPANITA CAWANGAN NEGERI PERLIS
Tarikh : 24 Februari 2026 (Selasa)
Tempat : Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis
Mesyuarat Agong Tahunan Ke-42 Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Negeri Perlis telah diadakan di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh YBhg. Datin Musidah binti Mohid@Mohamad, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Perlis.
Mesyuarat ini bertujuan untuk membentangkan dan mengesahkan Laporan Tahunan PUSPANITA yang merangkumi laporan aktiviti serta kewangan bagi tahun semasa. Selain itu, mesyuarat turut membincangkan hal ehwal persatuan termasuk cadangan, isu serta langkah penambahbaikan bagi memperkukuh peranan dan fungsi PUSPANITA di peringkat negeri.
Mesyuarat ini juga menjadi platform rasmi kepada ahli untuk menyuarakan pandangan dan cadangan secara teratur, sekali gus memastikan tadbir urus persatuan dilaksanakan secara telus dan berlandaskan perlembagaan yang ditetapkan. Perancangan hala tuju serta aktiviti persatuan turut dirangka bagi memperkasa kebajikan, pembangunan dan penglibatan ahli secara menyeluruh.
Terdahulu pada sebelah pagi, telah berlangsung sesi ceramah agama yang disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Roshimah binti Shamsudin dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang bertajuk Keseimbangan Ibadah, Amanah dan Prestasi Kerja. Turut diadakan Taklimat Kepenggunaan yang disampaikan oleh Puan Siti Sarah binti Samshudin daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri dengan tajuk Hak-Hak Pengguna dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.
Selain itu, program turut dimeriahkan dengan penganjuran Jualan Rahmah serta jualan barangan keperluan harian yang menawarkan pelbagai produk pada harga berpatutan. Inisiatif ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada para peserta yang hadir, malah menyokong usaha memperkasa ekonomi komuniti secara menyeluruh.
Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agong Tahunan Ke-42 PUSPANITA Cawangan Negeri Perlis telah disempurnakan oleh YABhg. Puan Paridah binti Ibrahim, isteri kepada YAB Menteri Besar Perlis merangkap Penaung PUSPANITA Cawangan Negeri Perlis. Beliau turut menyempurnakan gimik perasmian serta menyampaikan hadiah utama bagi lima (5) cabutan bertuah kepada para pemenang.
Turut hadir sama dalam majlis, YB Dato' Rahimi bin Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Tuan Yang Zaimey bin Yang Ghazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, YB Tuan Saharuddin bin Sarwan, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Noriman bin Rojulai, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan), Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Negeri Perlis, Setiausaha-Setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Ahli-Ahli Jawatankuasa PUSPANITA Cawangan Negeri Perlis, Ahli-ahli PUSPANITA Cawangan Perlis serta Urus setia Mesyuarat Agong Tahunan Ke-42 PUSPANITA Cawangan Negeri Perlis.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook

