MAJLIS AMANAT YAB MENTERI BESAR PERLIS BERSAMA PENJAWAT AWAM NEGERI PERLIS TAHUN 2026
Tarikh : 07 Januari 2026 (Rabu)
Tempat : Dewan 2020, Kangar Perlis
YAB Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Menteri Besar Perlis telah hadir ke Majlis Amanat Menteri Besar Perlis Bersama Penjawat Awam Negeri Perlis bagi Tahun 2026 bertempat di Dewan 2020, Kangar, Perlis. Turut hadir sama YB Tuan Rus'sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Rahimi bin Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Tuan Yang Zaimey bin Yang Ghazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, YB Tuan Saharuddin bin Sarwan, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
YAB Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Menteri Besar Negeri Perlis ke-9 yang baharu dilantik selepas diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis pada 28 Disember yang lalu, menzahirkan tekad kepimpinan baharu dalam memperkukuh hala tuju serta memperkasa negeri Perlis dalam mendepani cabaran tahun 2026. Dengan kesungguhan dan kerjasama semua pihak, Kerajaan Negeri yakin setiap perancangan yang digariskan mampu direalisasikan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.
Dalam amanat tersebut, YAB Menteri Besar Perlis turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Tuan Mohd Shukri bin Ramli, ADUN Sanglang atas jasa serta perkhidmatan beliau sebagai Menteri Besar Negeri Perlis ke-8, yang telah mencurahkan bakti dan sumbangan bermakna kepada negeri serta kepada mantan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Perlis dalam memikul tugasan dan tanggungjawab masing-masing mengikut portfolio-portfolio Negeri Perlis sepanjang tahun 2025.
Kerajaan Negeri Perlis di bawah kepimpinan baharu ini beriltizam untuk mentransformasikan jentera pentadbiran agar menjadi pemudah cara kepada rakyat, pelabur dan peniaga. YAB Menteri Besar Perlis menekankan bahawa pelabur dan peniaga merupakan rakan strategik penting kepada pembangunan Negeri Perlis. Justeru, selaras dengan pelaksanaan Kempen Visit Malaysia 2026, Kerajaan Negeri telah membuat ketetapan untuk melanjutkan Program Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024–2025 sehingga penghujung tahun 2026 dengan sasaran kehadiran seramai 5 juta pelancong, sekali gus merancakkan ekonomi negeri dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.
YAB Menteri Besar Perlis turut menekankan pengamalan konsep 3B iaitu Bangkit daripada zon selesa, Bingkas melaksanakan amanah dengan cekap dan berintegriti serta Buat dengan sikap proaktif dan kreatif walaupun berdepan kekangan, demi memastikan perkhidmatan awam Perlis terus diyakini dan dihormati.
YAB Menteri Besar Perlis juga menyampaikan insentif kepada atlet Sukan Orang Pekak Negeri Perlis yang berjaya membawa pulang pingat di Temasya Sukan Orang Pekak (SOPMA) Sarawak 2025 dan sijil penghargaan kepada jabatan dan agensi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perlis (JPBN) yang diwakili oleh Tuan Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi bin Md Daud, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis, sebagai pengiktirafan atas usaha dan komitmen mereka dalam menangani bencana banjir yang melanda negeri Perlis, memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Hadir sama dalam majlis Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Setiausaha-Setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook

