MAJLIS ISTIADAT PELANTIKAN DAN MENGANGKAT SUMPAH JAWATAN AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI PERLIS
Tarikh : 08 Januari 2026 (Khamis)
Tempat : Istana Arau, Perlis
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail Raja Negeri Perlis, telah berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang berlangsung di Istana Arau, Perlis. Turut berangkat bersama DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Raja Muda Perlis dan YAM Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
DYMM Tuanku Raja Perlis telah berkenan menyempurnakan pengurniaan Watikah Pelantikan dan menyaksikan lafaz ikrar sumpah oleh empat (4) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Perlis sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Negeri Perlis. ADUN yang dilantik ialah YB Tuan Izizam bin Ibrahim (ADUN Titi Tinggi), YB Datin Marzita binti Mansor (ADUN Sena), YB Tuan Megat Hashirat bin Hassan (ADUN Pauh) dan YB Tuan Wan Zikri Afthar bin Ishak (ADUN Tambun Tulang).
Turut hadir bersama ke istiadat angkat sumpah berkenaan, YA Datuk Mohamad Abazafree bin Mohd Abbas, Hakim Mahkamah Tinggi Kangar, YB Tuan Rus'sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, YB Dato’ Rahimi bin Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Tuan Yang Zaimey bin Yang Ghazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, YB Tuan Saharuddin bin Sarwan, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, YAA Tuan Haji Jaidi bin Ahmad, Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, YBhg. Brig. Jen. Dato’ Mohd Zaini bin Hj. Hashim, Panglima 30 Briged dan YDH DCP Datuk Muhammad bin Abdul Halim, Ketua Polis Negeri Perlis dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sumber : SUK Perlis Official Facebook

