Ahli ekonomi sambut baik keputusan buka semula beberapa sektor ekonomi terpilih

Rahman
761

KUALA LUMPUR, 10 April -- Ahli-ahli ekonomi menyambut baik keputusan kerajaan untuk membuka semula beberapa sektor ekonomi terpilih secara berperingkat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan kepada garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memetik sektor pembuatan sebagai satu daripada sektor yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan kerana ia menyumbang 85 peratus daripada eksport dan import negara. 

“Meskipun pengumuman itu positif kepada ekonomi, pematuhan ketat kepada langkah-langkah PKP seperti proses sanitasi yang dilakuan secara kerap dan penjarakan sosial perlu dipantau dengan ketat oleh pegawai penguatkuasaan undang-undang.  

“Jadi, ini adalah cabaran utama kerana kerajaan perlu mengimbangi antara kesihatan dan ekonomi. Memandangkan ketika ini, keutamaan utama adalah kesihatan jadi tahap pengawalan rapi langsung tidak boleh dikompromikan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Walaupun bersetuju dengan Mohd Afzanizam mengenai keperluan untuk memberikan pertimbangan sewajarnya kepada sektor pembuatan, Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Izuan Ahmad berkata penekanan perlu diberikan kepada segmen berorientasikan ekport, kerana penutupan operasi telah menjejaskan perniagaan dan kemampanan kewangan mereka. 

“Ia merupakan satu keputusan penting oleh kerajaan untuk menimbang memulakan operasi bagi sektor ekonomi terpilih, kerana PKP yang dilanjutkan boleh memberikan impak besar kepada sektor-sektor yang dikelaskan sebagai ‘perkhidmatan bukan penting’.  

“Justeru, sektor pembuatan berorientasikan eksport perlu dibenarkan beroperasi (walaupun di bawah kawalan ketat) untuk memastikan impak negatif daripada lanjutan PKP tidak menjejaskan lagi sektor tersebut,” katanya.

Sementara itu, ahli lembaga Persatuan PKS Malaysia Datuk Jalilah Baba berkata cadangan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi terpilih adalah keputusan terbaik kerana negara masih belum pulih sepenuhnya daripada impak COVID-19.

“Kita tiada jalan lain selain untuk meneruskan PKP ini sekiranya mahu negara kita benar-benar bebas dari wabak COVID-19 ini. Angka-angka terkini menunjukkan perkembangan positif dari segi bilangan pesakit yang telah sembuh. PKP ini harus diteruskan untuk memastikan kita benar-benar pulih,” katanya.

Berkenaan sektor yang harus diberikan perhatian, Jalilah mencadangkan agar kerajaan dapat menimbangkan pembukaan semula sektor berkaitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya yang melibatkan, industri makanan, perubatan dan logistik.

Bagaimanapun, beliau berkata sektor-sektor ini perlu dibuka semula dalam keadaan yang terkawal, mengikuti piawaian PKP semasa, dengan operasi dan jadual tertentu dalam memastikan objektif utama kerajaan untuk membasmi COVID-19 berjaya.

Semasa menyampaikan perutusan Khasnya hari ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebuah jawatankuasa khas kabinet yang dipengerusikan bersama menteri kanan merangkap menteri perdagangan antarabangsa dan industri serta menteri kanan merangkap menteri pertahanan akan diwujudkan untuk meneliti senarai sektor ekonomi yang terpilih tersebut.

“Saya faham bahawa ekonomi negara kita terjejas kerana sekatan-sekatan yang dibuat terhadap aktiviti perusahaan, perkilangan dan perniagaan sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

“Saya ingin tegaskan bahawa pembukaan beberapa sektor yang terhad ini bukan bermaksud kita melonggarkan PKP. Perintah ini masih berkuat kuasa dan semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mestilah dipatuhi,” katanya sambil menambah sekiranya terdapat pengusaha, kilang atau syarikat yang melanggar peraturan, kerajaan akan menarik balik kebenaran yang diberikan. 

-- BERNAMA