UniMAP Perkenal Sistem Al-QuranDdigital Mudahkan Imam

Tarikh : 7 April 2022 (Khamis)

Kangar: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memperkenalkan sistem al-Quran Digital Kawalan Tanpa Wayar bagi memudahkan imam membaca ayat lebih panjang pada solat sunat tarawih sepanjang Ramadan.

Idea itu dicetuskan penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN) UniMAP dan dibangunkan Profesor Ir Dr Anuar Mat Safar yang juga Pengerusi Masjid Al-Arifin Padang Katong, Kangar.

Ia sekali gus menjadikan masjid pertama yang menggunakan teknologi berkenaan untuk menunaikan solat tarawih pada Ramadan kali ini.

Dekan FTKEN, Prof Madya Ts Dr Azremi Abdullah Al-Hadi berkata, projek itu adalah hasil kerjasama Masjid al-Ariffin, FTKEN, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

"Dengan adanya sistem berkenaan, Imam Satu masjid, Ustaz Muhammad Khidhir Abdul Ghani boleh membaca ayat yang lebih panjang dan boleh menggerakkan muka surat seterusnya dalam solat tanpa memerlukan pergerakan besar.

"Menerusi sistem ini, imam akan membaca surah melalui al-Quran digital yang dipancarkan di skrin dan boleh dikawal pergerakan muka surat menggunakan alat yang dipakai di pergelangan tangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, antara kakitangan FTKEN dan FTKM yang terbabit dalam inisiatif itu ialah Dr Iszaidy Ismail, Dr Ilman Jais, Ir Dr Wan Mohd Faizal Wan Abd Rahman, Mohd Haidiezul Jamal Ab Hadi dan Mohd Hazwan Mohd Hanid.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, UniMAP komited dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan yang boleh membantu komuniti setempat dalam jangka masa panjang.

"Sistem itu juga berpotensi dikomersilkan dan digunakan di masjid, surau bahkan boleh digunapakai untuk kegunaan solat di rumah.

"Malah ia juga selari dan bersesuaian dengan hala tuju Perlis Go Digital sekali gus memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai budaya digital," katanya.

Sumber : Harian Metro
 
 
 
Image

PAUTAN LUAR