SEJARAH PENUBUHAN MAHKAMAH SYARIAH

Mahkamah Syariah Perlis telah ditubuhkan sejak sebelum Merdeka iaitu dalam tahun 1340H bersamaan dengan 1921M.  Penubuhannya berdasarkan kepada Undang-Undang Mahkamah Syariah Tahun 1340H (Undang-Undang Perlis No.15 tahun 1340H).   Penubuhannya di bawah Undang-Undang ini terus terpakai sehinggalah digantikan dengan Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis 1963 (Undang-Undang No.3 tahun 1964) di bawah seksyen 11.

Mahkamah Kadi Negeri Perlis pada asalnya telah ditubuhkan di bawah seksyen 11(1) Undang-undang Pentadbiran Ugama Islam Perlis 1963. Di awal penubuhannya, Mahkamah Kadi ini berada di bawah pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis.

Kerajaan Negeri Perlis telah menggubal dan mewartakan Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1991 pada 3 Disember 1992 bagi meningkatkan taraf dan menggantikan struktur Mahkamah Kadi yang ditubuhkan di bawah Undang-undang Pentadbiran Ugama Perlis 1963.

Satu penyusunan semula kedudukan Mahkamah Kadi supaya berasingan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada 1hb.Januari,1995. Mulai tarikh  tersebut, Mahkamah  kadi mempunyai pentadbiran sendiri dan diketuai oleh seorang Kadi Besar.

Dengan penguatkuasaan Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1991 maka Mahkamah Kadi yang ditubuhkan di bawah Seksyen 11(1) Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam 1963 telah dimansuhkan dan digantikan penubuhannya di bawah seksyen 7(1) Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1991. Semua pentadbiran dan bidangkuasa Mahkamah Kadi termaktub di bawah Enakmen tersebut dan mula berkuatkuasa pada 3hb.Disember,1992.
 

 

|| Main || Sejarah || Objektif || Piagam Pelanggan || Struktur Organisasi || Carta Organisasi || Senarai Perjawatan ||