KANGAR, 17 Feb (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggesa generasi muda agar membentuk budaya positif dalam menghadapi cabaran dunia moden dan globalisasi.

Titah baginda dalam menempuh cabaran dunia moden dan globalisasi ini, rakyat terutamanya generasi muda hendaklah memiliki 'minda juara' yang bersedia melakukan perubahan.

"Jika ada halangan, cari jalan untuk atasi cabaran. Jika ada masalah, selesaikan secara bijak dan berhemah. Jika kurang ilmu, belajarlah tanpa jemu.

Di samping itu, guru dan teman-teman di sekolah juga mejadi pendorong atau 'tapak' untuk membentuk perubahan positif tersebut," titah baginda semasa merasmikan program Titian Kasih Mega peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Suleiman, di sini semalam.

Keberangkatan baginda disambut Pemangku Pengarah Pendidikan Perlis, Amran Rejab dan pengetua sekolah Ayub Ahmad. Hadir sama Setiausaha YTSP Perlis Datuk Johari Darus.

Program motivasi yang masuk tahun kelapan itu dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis bertemakan "Ke Arah Rakyat Negeri Perlis Bermentaliti Kelas Pertama."

Baginda bertitah generasi muda menjadi agenda terpenting dalam pembangunan sosio budaya dan ekonomi yang seimbang, justeru masyarakat perlu mengembleng usaha membentuk persekitaran yang baik ke arah melahirkan generasi muda yang kental jati diri.

Raja Muda yang juga Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) bertitah usaha mempertahankan perpaduan dan keharmonian kaum serta agama di negara ini juga perlu diteguhkan demi kemakmuran dan kesejahteraan hidup generasi kini dan akan datang.

Baginda turut berkenan merasmikan 'Kitchen Garden' Program Pendidikan Kelas Integrasi (PPKI) Bermasalah Pembelajaran yang diwujudkan di sekolah itu untuk memberi pendedahan dan menerapkan disiplin bekerja dalam kalangan pelajar pendidikan khas di sekolah itu dan 'Modul Pembelajaran Pra-Vokasional (Bakeri) PPKI yang bermula Januari lepas.

-- BERNAMA

MAMPUMyGOVMSCJPATourismSPABPASPRPEMUDAHMOFKSN

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Aras 1,
Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis,
01000 Kangar, Perlis.
Tel : 04-9738800
Fax : 04-9775863
E-mel : korporat@perlis.gov.my

Pihak Kerajaan Negeri Perlis tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Paparan terbaik gunakan Internet Explorer IE 8.0 keatas atau Mozilla Firefox Mozilla Firefox 4.0 keatas pada resolusi 1024x768 pixel.