Zahirkan Rasa Cinta Kepada Negeri Dengan Amalan Kebersihan - Raja Muda Perlis
KANGAR, 13 Mei (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat menzahirkan rasa cinta dan sayang kepada negeri dengan mengamalkan kebersihan sebagai salah satu fokus utama.
Menurut baginda, banyak perkara boleh dizahirkan untuk menyatakan rasa cinta dan sayang kepada negeri Perlis namun antara yang mudah dilakukan ialah mewujudkan suasana bersih dan indah.
"Kebersihan hendaklah dijadikan sebagai sebahagian daripada budaya bangsa yang bermentaliti kelas pertama," titah baginda semasa merasmikan gotong royong perdana peringkat negeri Peris 2013 anjuran Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) di Kompleks Makanan Laut (Komalaut) Kuala Perlis Isnin.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, tanggungjawab menjaga kebersihan tidak harus diletak di bahu Kerajaan atau pihak berkuasa tempatan semata-mata malah ia merupakan tanggungjawab bersama masyarakat.
Pada majlis itu, baginda turut merasmikan dua buah jentera pemungut sisa pepejal, setiap satu bernilai kira-kira RM450,000.
Dua jentera itu adalah tambahan kepada 11 buah sedia ada digunakan bagi memungut sisa pepejal di Perlis, selain tiga unit lagi yang akan dibekalkan tidak lama lagi.
Sebelum itu pada sebelah pagi berlangsung majlis gotong royong membersihkan kawasan persekitaran Komalaut yang menjadi tumpuan para penggemar makanan laut dan ikan bakar, membabitkan ratusan anggota E-Idaman bersama penduduk sekitar.
Sumber -- BERNAMA


























