Perlis Berpotensi Jadi Lokasi Utama Kegiatan Berbasikal
KANGAR, 12 Mei (Bernama) -- Negeri Perlis berpotensi menjadi lokasi utama kegiatan berbasikal lasak dan santai yang boleh disenaraikan sebagai produk pelancongan, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail Ahad.
Menurut baginda, keindahan semula jadi yang terdapat di Perlis termasuk Banjaran Nakawan, bukit bukau, perkampungan tradisional, sawah padi, ladang jati dan pesisiran pantai melengkapi produk pelancongan berbasikal.
Bertitah merasmikan program kayuhan basikal lasak 'Perlis International Green Ride 2' sempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-70 di Kompleks Basikal Lasak Bukit Ayer dekat Kangar, Ahad, baginda yakin kegiatan itu boleh menggamit pelancong.
Seramai 350 peserta termasuk 30 dari Thailand mengambil bahagian dalam program berbasikal membabitkan jarak sejauh 66 kilometer bermula dari kompleks itu ke Gua Kelam, salah sebuah lokasi pelancongan di Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, lokasi eko pelancongan yang terletak dalam radius yang boleh dilawati dari trek yang diselusuri walaupun dengan hanya menggunakan basikal sudah pasti membawa pengalaman menarik para penggemar sukan basikal lasak.
Baginda yang juga penggemar kegiatan berbasikal mencadangkan kerajaan negeri membanyakkan trek laluan berbasikal di samping tandas awam yang terjaga di sepanjang laluan.
Baginda berharap kegiatan berbasikal diintegrasi dalam pakej pelancongan oleh hotel dan pengusaha homestay di negeri ini.
Tidak mustahil suatu hari kelak akan wujud sebagai perkampungan basikal di Perlis jika kegiatan itu diperkasakan lagi, tegas baginda.
Baginda juga berbasikal sempena program itu.
Ikut serta ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid; dan Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron.
--BERNAMA


























