Polis Perlis Ingatkan Orang Ramai Tidak Anjur Perhimpunan
KANGAR, 5 Mei (Bernama) -- Polis Perlis mengingatkan penduduk di negeri itu agar tidak menganjur atau menyertai perhimpunan selepas pengumuman keputusan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ahad malam.
Ketua Polis Negeri SAC Zull Aznam Haron berkata perhimpunan melebihi lima orang yang bertujuan menunjukkan kekerasan jenayah, menentang pelaksanaan sebarang undang-undang dan melakukan apa-apa khianat atau pencerobohan jenayah adalah kesalahan mengikut Seksyen 142 Kanun Keseksaan.
Mereka yang terbabit boleh dihukum mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya, katanya pada sidang media di sini.
Beliau turut meminta masyarakat di Perlis menunggu keputusan rasmi daripada SPR dan tidak terpengaruh dengan khabar angin yang mungkin disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
-- BERNAMA


























