UniMAP Dan Nihon Superior Jalin Kerjasama Penyelidikan
KANGAR, 22 April (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Nihon Superior (M) Sdn Bhd (Nihon Superior) menjalin kerjasama bagi memperkukuh kegiatan penyelidikan bahan elektronik.
Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata Nihon Superior telah menubuhkan makmal penyelidikan bahan elektronik di Pusat Kecemerlangan Geopolimer & Teknologi Hijau UniMAP di Jejawi baru-baru ini.
Beliau berkata kewujudan makmal itu adalah sebagai permulaan cemerlang dalam kerjasama penyelidikan bahan elektronik antara UniMAP dan Nihon Superior yang berpangkalan di Osaka, Jepun.
"Menerusi jalinan ini, kita yakin akan dapat membangunkan penyelidikan khususnya dalam bidang pembungkusan elektronik serta mampu menghasilkan para penyelidik bertaraf antarabangsa," katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan UniMAP di sini Isnin.
Kamarudin berkata makmal tersebut telah dirasmikan Presiden Nihon Superior Ltd dari Osaka, Tetsuro Nishimura baru-baru ini dan syarikat pengeluar bahan pateri terbesar dunia itu juga bersetuju menaja pelajar UniMAP bagi meningkatkan pengalaman dalam bidang berkaitan.
Makmal Penyelidikan Bahan Elektronik Nihon Superior juga melatih jurutera yang ditaja syarikat itu dengan menggunakan kepakaran penyelidik dan pensyarah UniMAP.
UniMAP merupakan universiti ketiga di dunia yang menjalin kerjasama dengan syarikat itu yang sebelum ini turut menjalin kerjasama dengan Imperial College, London dan Queensland University, Australia.
UniMAP dan Nihon Superior memeterai kerjasama pada akhir Januari lalu di Osaka sejajar dengan hasrat universiti itu untuk mengukuh kedudukan di persada antarabangsa sebagai universiti yang berteraskan kejuruteraan.
Nihon Superior mempunyai rangkaian kilang pengeluaran di seluruh dunia termasuk Malaysia, Thailand, Singapura, China, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah.
Sumber -- BERNAMA


























