Maybank Sasar Transaksi ASB RM100 Juta Dalam MSAM 2013
KANGAR, 22 April (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) menyasarkan untuk mencapai transaksi Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang mencecah RM100 juta dalam Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) selama lapan hari tahun ini, berbanding RM120 juta pada MSAM 2012, yang diadakan di Sabah.
"Tahun ini kami menetapkan sasaran yang lebih rendah kerana penduduk di Perlis hanya 240,000 orang," kata Naib Presiden Eksekutif dan Pengarah Wilayah bagi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Goay Yeap Siang, kepada media di sini Isnin.
Beliau berkata Perdana Menteri mengunjungi acara tahun lepas, sekali gus mendorong kehadiran lebih ramai pengunjung.
Tahun ini, disebabkan oleh pilihan raya umum, bilangan pengunjung susut sedikit, walaupun Maybank masih menggunakan acara itu untuk memperkenalkan produk ASB dengan hadiah-hadiah menarik dan yuran pendaftaran yang lebih rendah, katanya.
Goay berkata syarikat itu telah menurunkan kadar minimum bagi deposit daripada RM250 kepada hanya RM50 bagi akaun simpanan 'yippie' yang dijangkakan dapat menarik 1,600 pelanggan baharu minggu ini.
Syarikat itu juga menjangka dapat mencapai minimum 1,200 permohonan kad kredit dan 2,000 kes bagi produk perlindungan daripada syarikat seinduknya, Etiqa Insurance dan Takaful.
Rakan kongsi utama MSAM itu juga akan membawa programnya, Maybank One Solution, ke jelajah itu.
"Kami ada tujuh produk di bawah program ini, dan ini termasuklah membuka akaun simpanan serta memohon bagi pinjaman peribadi dan kad kredit," kata beliau.
Maybank One Solution menyediakan produk kewangan tujuh-dalam-satu yang diluluskan dengan pantas dan diaktifkan dalam masa 10 minit.
Program yang dilancarkan pada November tahun lepas itu ditawarkan melalui kiosk yang terletak di ruang terminal layan diri cawangan-cawangannya, pusat beli belah atau pasar raya besar yang beroperasi tujuh hari seminggu.
Maybank telah mengambil bahagian dalam MSAM selama 13 tahun.
Sumber -- BERNAMA


























