Seramai 3,000 Peladang Di Perlis Terima Bantuan Input Pertanian
KANGAR, 15 April (Bernama) -- Seramai 3,000 peladang di Perlis menerima bantuan input pertanian daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bernilai RM600,000 bagi menyemarak kegiatan sektor itu di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).
Sumbangan disampaikan Pengerusi LPP Datuk Zainal Dahalan kepada enam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) luar MADA bagi meringankan beban golongan itu pada majlis yang berlangsung di PPK Paya Isnin.
Penerima bantuan ialah anggota PPK Bintong, Titi Tinggi, Beseri, Mata Ayer, Padang Siding dan Paya dengan setiap PPK menerima RM100,000 untuk diagih dalam bentuk input pertanian kepada peladang.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Zainal berkata peruntukan bantuan kepada peladang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari lepas, yang keseluruhannya berjumlah RM20.8 juta.
Beliau berkata setiap PPK diberi tanggungjawab mengenal pasti 500 anggota yang layak menerima bantuan manakala yang lain berpeluang menikmatinya pada tahun depan.
Katanya, beliau meminta Perdana Menteri meneruskan program sedemikian pada masa akan datang kerana majoriti 800,000 anggota PPK di seluruh negara adalah penyokong kerajaan.
Sumber -- BERNAMA


























