Raja Perlis Terima Menghadap Duta Korea Selatan
KANGAR, 29 Mac (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan menerima menghadap Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Lee Yong-Joon di Istana Arau malam tadi.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Lee yang diiringi para pegawai kanan kedutaan Korea Selatan di Kuala Lumpur termasuk Kaunselor Ekonomi Park Jung Sung dan Setiausaha Pertama Lee Chul, tiba di Perlis semalam selepas melawat Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA).
Turut bersama delegasi itu ialah Timbalan Pengerusi Korean Chamber of Commerce, Malaysia (KOCHAM), Baek Seung Ryul dan Pengurus Besar Restoran Onsemiro, Kuala Lumpur, Kim Yu Ni.
Hari ini delegasi Korea Selatan itu dijadual melawat loji Syngas Sdn Bhd yang mempelopori teknologi menghasilkan diesel bermutu tinggi menggunakan bahan plastik terbuang di Batu Bertangkup dan melawat kompleks bebas cukai Emas Kerajang di Padang Besar sebelum pulang ke ibu negara.
Sumber -- BERNAMA


























